BESUT HARI INI
BESUT : Seramai kira-kira 10,000
penduduk daerah Besut berarak sejauh 13 kilometer sempena program 'Walk 4
Peace' (Berjalan Untuk Keamanan) demi menyatakan sokongan terhadap Operasi
Daulat di Lahad Datu, Sabah.
Perjalanan bermula 5.00 petang dan berakhir 6.30 petang itu turut membawa
sepanduk dengan kata-kata semangat kepada pasukan keselamatan yang sedang
berjuang menentang pengganas dari selatan Filipina dalam operasi itu.
Program yang diketuai Ketua Umno Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh itu
turut disertai anggota Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, anggota
Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar, Adun Hulu Besut,
Nawi Mohamad, Adun Kota Putera Muhammad Pehimi Yusoff, Pegawai Daerah Besut, A
Rahim Jusoh dan ketua-ketua jabatan.
Program dimulakan dengan bacaan doa dan kibaran Jalur Gemilang sambil diiringi
nyayian lagu-lagu patriotik, turut melibatkan anggota keselamatan termasuk
polis, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Gong Kedak, anggota
Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Persatuan Bekas Polis Daerah
Besut, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan
penduduk sekitar.
Perarakan yang dilaksanakan secara berperingkat itu melibatkan beberapa
perhentian bermula di Jerteh Souq sebelum bergerak ke hentian Kampung Nyiur
Tujuh, Alor Lintah, Gong Kepas sebelum berakhir di pusat pentadbiran Kampung
Raja.
Pada setiap hentian itu, perarakan diikuti seramai 2,000 penduduk mewakili
pelbagai pihak untuk menyambung perjalanan.
Pada majlis itu, lebih RM5,000 berjaya dikutip untuk mengisi Tabung Wira Lahad
Datu. [Dipetik daripada blog Malaysiakini]
No comments:
Post a Comment