KUALA LUMPUR- Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (Dun Kota Putera) dengan kerjasama APMT negeri telah berjaya mengadakan Kursus Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan Dun Kota Putera pada 15-17 Disember 2011 bertempat di Cititel Express Kuala Lumpur. Seramai 75 peserta yang terdiri daripada 54 pemuda dan 21 puteri Dun Kota Putera telah menghadiri kursus ini. Kursus ini turut disertai oleh seramai 14 orang pembantu APMT Dun Kota Putera.
Aturcara kursus bermula dengan majlis perasmian yang telah dilaksanakan oleh Yang Berhormat ADUN Kota Putera iaitu YB Haji Mohammad Pehimi Bin Haji Yusof di Pejabat Penyelaras Dun sebelum bertolak ke Kuala Lumpur. Antara intipati ucapan beliau adalah beliau berharap agar semua peserta mendapat pengetahuan yang berguna untuk disalurkan kepada rakan-rakan apabila kembali ke kampung. Selain itu beliau juga berterima kasih kepada APMT negeri kerana memberi kepercayaan kepada APMT Dun Kota Putera untuk mengendalikan kursus ini.
Antara pengisian kursus sepanjang 3 hari, 2 malam tersebut adalah ceramah oleh Ustaz Haji Kamaruldin Bin Omar, Pegawai Khas Agama kepada YAB MB Terengganu dan ceramah oleh Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Bin Abu Shah, bekas Naib Canselor UiTM. Banyak isu-isu politik semasa yang telah dikupas oleh para penceramah yang dapat membangkitkan kesedaran minda kepada setiap peserta. Motivasi yang disampaikan oleh penceramah dapat membantu bakal-bakal pemimpin masa depan dalam menghadapi persiapan PRU13.
Pemimpin-pemimpin muda ini telah diraikan pada Majlis Makan Malam di Restoran Nelayan Titiwangsa. Selain itu pada malam 17 Disember 2011 sebelum bertolak pulang ke Kota Putera, peserta telah mengikuti Konsert 25 tahun Ruth Sahanaya di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Turut hadir dalam konsert tersebut ialah mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah bt Ali.
berita penuh